26 September 2012

Kos Hidup di Kuala Lumpur




Peritnya hidup di kota, fobia tiap kali turun ke pasar

Oleh Haider Yutim

Faizul, 29 tahun, seorang eksekutif yang tinggal di bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau tinggal bersama isterinya dan walaupun belum mempunyai anak, beliau masih mengalami kesukaran untuk hidup selesa dengan gaji yang beliau perolehi sekarang.

Faizul merupakan sebahagian besar penduduk bandar yang mengalami masalah perbelanjaan meskipun berpendapatan sederhana.

“Susah... sebab gaji saya cuma cukup untuk perbelanjaan harian dan juga pengangkutan, dan saya rasa setiap bulan saya tiada simpanan untuk diri saya sendiri sebab gaji yang diperolehi sangat tak cukup untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ini,” kata beliau.

Menurutnya, secara purata setiap bulan beliau hanya memperolehi baki sebanyak RM500 untuk simpanan.

“Satu bulan saya menghabiskan lebih kurang RM1,800 ringgit untuk hanya membayar pinjaman, sewa rumah dan juga kereta. Saya menghabiskan sebanyak RM1,800 ringgit untuk membayar tiga keperluan itu sahaja,” tambah Faizul.

Beliau juga memberitahu terpaksa membuat pinjaman peribadi untuk menampung perbelanjaan bulanannya.

Namun, secara tak langsung kos tanggungannya juga bertambah disebabkan pembayaran ansuran pinjaman tersebut.

“Untuk menampung kos sara hidup bulanan, saya terpaksa membuat kerja-kerja sambilan di rumah dan ia sedikit sebanyak dapat membantu saya dalam perbelanjaan bulanan,” tambah Faizul.

Untuk bajet 2013 ini, Faizul berharap kerajaan dapat mengawal harga segala barangan keperluan seperti ayam, ikan dan juga petrol.

Kata beliau, jika kerajaan dapat mengawal semua itu nescaya harga barang-barang tidak akan naik seperti sekarang.

Bagi Sharizad Ahmad pula, beliau fobia dan rungsing setiap kali pergi ke pasar disebabkan harga barang yang semakin meningkat.

“Kalau lima enam tahun dulu boleh la beli ayam sekali dua ekor, sekarang ni ayam seekor tu kena tahan dalam dua tiga hari. Maksudnya dua kali masak la.

Kalau ayam mahal beli ikan, kalau ikan mahal, beli ayam.,” jelas Shahrizad.

Beliau yang bekerja sebagai pegawai bank di sebuah syarikat perbankan tempatan memberitahu, cara untuk menghadapi situasi ini hanyalah dengan berjimat cermat.

“Tiap-tiap tahun rasa berbezaan harga barang. Dulu kalau pergi pasar boleh bawak 50 ringgit, dan boleh beli banyak... sekarang tak banyak boleh dapat dengan 50 ringgit tu,” kata beliau lagi.

Untuk menampung perbelanjaan, Shahrizad juga bekerja sambilan menjual baju di pasar malam pada hujung minggu, untuk memperoleh pendapatan tambahan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

Beliau memberitahu, secara purata sebulan beliau membelanjakan lebih kurang RM3,000 untuk bil, ansuran rumah, kereta dan belanja dapur.

Permintaan beliau untuk Bajet 2013 adalah supaya kerajaan dapat berusaha meningkatkan pendapatan golongan perpendapatan sederhana sekaligus membantu menaikkan kualiti hidup mereka.

Beliau juga mencadangkan supaya elaun suri rumah diwujudkan, harga rumah dan cukai jalan dikurangkan serta memohon agar Elaun Bantuan Sara Hidup (COLA) bagi pekerja bank dinaikkan kerana sekarang mereka cuma mendapat RM150
sebulan sahaja.

“Tiada untuk simpanan... memang cukup-cukup saja,” akui beliau.

Bajet 2013 akan dibentangkan di Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat 28 September ini. 

sumber: Astro AWANI

*wani - mahalnya rega keta dia

1 comment:

:: Mrs.Eady :: said...

kos tinggi nak duduk kl ni

Related Posts with Thumbnails