07 December 2010

Kenapa Suami Membenci Isteri Sendiri? -part 2-

     bila dah jadi macam ini, tetiba rasa buku ini amat berguna.. tapi ambil kesempatan pun ada jugak rasanya. "macam menaguk di air yang keruh".

     tapi kalau jadi macam ini? apa kes lak....

kasih suami isteri.......... sedih...

     Manusia kata tangan yang menghayun buaian biasa menggoncang dunia. Tapi aku tewas dalam menghayun buaianku sendiri. 25 tahun lalu rumah papan beratapkan zink ini telah menyambut kelahiran seorang bayi lelaki. Dia ku beri nama Iskandar. Tiada beza ku kira antara berjuta-juta nama asalkan ianya baik untuk bayi itu. Saat melahirkannya aku rasakan hidup sebentar cuma. Melewati beberapa detik, kesakitan yang dialami hilang bila suara si kecil kedengaran. Melantun ke setiap dinding. Menyerakkan warna bahagia. Gembira pada wajah suamiku memercik ke seluruh alam. Saat yang kami tunggu. Kelahiran insan terpilih. Umurnya sehari cuma bila pertama kali menyusuinya, kemudian memasuki dua hari seterusnya mencecah 6 tahun. Hadirnya dia membawa bahagia pada kami. Aku rasa kami adalah keluarga paling bahagia dan sempurna. Saat dia minta untuk disusukan, aku telah katakan padanya, "Umi halalkan susu ini buatmu Iskandar,". Dia merangkak dan bertatih kemudian.Aku ajar dia menyebut umi dan ayah. Pertama kali dia memanggilku dengan gelaran itu aku dapat rasakan betapa bahagianya menjadi seorang ibu. Aku ajarkan padanya juga nama-nama benda. Huruf-huruf. Hingga dia akhirnya berkata-kata.Sekelip mata dia membesar di depanku. Melalui hayunanku dia melangkah ke alam sekolah. Hari pertama aku hantar dia ke sekolah dia menangis. Rupanya dia ketakutan. Meminta untuk ditunggu. Kerana kasih dan sayang padanya aku luangkan masa untuk dia. Petah dia berkata buat kami sekeluarga bertambah ceria.
   
     Suamiku lebih lagi. Dia terlalu memanjakan Iskandar. Rembang petang dibonceng anak kecil itu mengelilingi kampong. Menikmati panorama sebuah alam terpencil yang bernama kampong. Memerhati padi-padi menguning. Seakan emas bila disinari cahaya terik sang matahari yang kemudiannya terliuk-liuk bila dibuai angin petang. Mendengar kicauan beburung pulang ke sarang setelah berusaha mencari sesuap rezeki. Suamiku mahu Iskandar belajar kasih sayang dari alam. Supaya nanti dia tidak akan lupa jasa alam ini terlalu besar. Melukis kehidupan dengan warna-warna indah akan melakarkan hasil seni kehidupan yang menakjubkan. Itu kata suamiku. Dia insan seni. Tiap bicaranya menguntum kelopak seni. Lidahnya juga berakar seni. Selalu dia berkata alam mengajarnya begini. Suamiku seorang petani. Menanam padi dibendang dan bercucuk tanam sayuran. Aku sekadar peneman setianya. Menanti dia pulang ke rumah bersama senyuman manis dengan harapan keletihan akibat kerahan tenaga sepanjang hari hilang. Semua itu adalah demi sebuah kehidupan. Dia seorang penyabar, penyayang dan bertanggungjawab.

     Sejak Iskandar hadir kerjanya bertambah lagi. Kadangkala hingga kelihatan syafak di jihat barat barulah dia sampai ke rumah. Aku pula dengan kemahiran membuat kuih, mengurangkan sedikit beban suamiku. Gelaran isteri padaku bukan satu kongkongan.Malah ia melatih diri menjadi wanita sempurna. Aku bahagia dengan kehidupan ini. Terlalu indah bila melaluinya. Ia ibarat bianglala yang menghiasi langit selepas gerimis pulang. Selaut deritapun akan hilang tatkala setitik bahagia bertamu.

     Iskandar 15 tahun kini. Seorang pelajar cemerlang.Juga pencapaian akademik serta kokurikulum yang membanggakan. Dia pelajar harapan. Harapan aku juga suami. Seorang anak yang baik.Menurut kata. Seribu bahasapun yang bakal aku ucapkan akan mengatakan bahawa aku bertuah punya anak sepertinya. Panas ku sangka ke petang.Waktu keluarga kami dinaungi bahagia, derita datang juga menimpa.Suamiku kemalangan. Motosikal yang dipandu dilanggar orang berkereta. Luluh hati bila dahan pergantungan selama ini semakin rapuh.Kedua-dua kakinya terpaksa dipotong. Bagaimana aku harusmenempuh kehidupan ini. Seorang diri mengaut rezeki yang ada.

     Awal keadaan, hubungan kami masih seperti biasa. Aku akan memandikan, menyuap makanan ke mulutnya dan melayan dengan mesra. Tapi bila pohon segar didarusi racun akhirnya layu jua. Manusia yang memenuhi alam ini kadangkala tidak berlaku adil. Acapkali mengatakan resah, kekurangan dan keperitanku. Malah dijaja nama suamiku memakan hasil pencarian isteri sendiri.

     Demi tuhan! Tidak sanggup aku lihat air matanya bila sampai perkhabaran itu di telinga sendiri. Dia merenungku saat kami berbicara lewat dinihari. Kedut kulit wajahnya, kakinya yang pincang, tidak sedikitpun mengurangkan rasa cintaku padanya. Malah kecintaan itu semakin bertambah. Mungkin di baja keperitan yang menyapa. Rumah kayu beratap zink kami seakan menangis.Namun masih terasa bahagianya.

     "Sal, bagaimana perbelanjaan bulan ini?. Duit untuk Iskandar?," tutur bicara suamiku lembut bernada. Ada kerisauan pada kalbunya. Aku pandang wajah lelaki itu dengan seukir senyuman. "Abang, selagi kita punya tuhan, janganlah abang risau semua itu," ikhlas ku katakan aku sedih dia begitu. Aku rela korbankan tulang empat kerat ini. Namun untuk melihat dia menangis tidak sekali. "Sal, mengapa kau tidak pernah ingin berpisah daripadaku?. Kau sudah rasa bukan perit dan pahitnya hidup bersama?,". Bila ku pamit matanya, manik-manik jernih gugur tanpa dapat ditahan. Lantas ku dekati tubuhnya dan usapkan air mata itu. Terus aku katakan padanya, "Abang. Sejak Sal halal di sisi abang Sal abdikan diri ini untuk abang. Jangan katakan pergi. Untuk menjauhi abangpun tidak sekali,". Hati lelakiku itu menjeruk rasa begitu lama.

     Kerana wujud manusia yang menjaja rasa kehidupan kami. Aku genggam erat jemarinya dan ku sandarkan wajah pada bidang dadanya. Lalu ku ikrar pada suami ku supaya dia tahu, aku isteri yang setia sehidup semati. "Selagi hayat dikandung badan, Sal akan tetap meneruskan cita-cita kita walaupun alam berubah cita,". Detik berlalu, masa semakin berganjak.

     Zuriatku kini menjangkau 18 tahun umurnya. Seusai pengajian di sebuah sekolah menengah, khabar gembira kami terima. Dia ditawar melanjutkan pelajaran ke sebuah universiti luar negara. Sore dia pulang dengan wajah ceria. Mengadap wajahku dengan seukir senyuman. Iskandar mengambil duduk di depanku. Perlahan dia membuka sampul surat berwarna coklat yang terletak kemas di tangan. Lantas mengunjuk padaku. Sekilas ku pandang wajahnya. Benar-benar dia mengharap. Aku hilang punca. Berpalis memandang suami yang sedang terbaring. Antara keluarga dan impian. Iskandar menyentuh jemariku lembut.

     Tanpa berkata apa-apa dia berlalu pergi meninggalkan aku sendirian. Tidak perlu bertanya panjang, kerana telah tahu jawapanku. Air mata gugur juga. Apa yang perlu aku lakukan. Tidak mungkin gadaikan tanah bendang. Itulah satu-satunya ladang rezeki kami. Aku harap kau faham wahai anak. Masa menyusuri kehidupanku. Tiga tahun berlalu bersama butiran mutiara harapan. Harap suami sembuh seperti sediakala, harap Iskandar menamatkan pengajiannya secepat mungkin.

     Satu hari dalam bulan Februari, aku dipanggil ke kampus Iskandar oleh seorang pensyarahnya. Dia ku kenali sebagai seorang kaunselor. Bertalu soalan yang diajukan. Bagaimana Iskandar sebenarnya.Apakah sifatnya. Aku terangkan sehabisnya. Aku cerita sebaik-baik laku anak itu. "Ibu, ada percanggahan pada sifat Iskandar. Dia seorang pendiam. Juga pendendam. Pernah satu ketika dia menyakiti seorang pelajar hanya kerana sebuah permainan. Tapi dia seorang cemerlang dan cerdik. Mungkin ia berlanjutan daripada kejadian-kejadian di rumah. Atau ada peristiwa yang membuatkan dia demikian," kata pensyarah muda itu bagaikan mencarik-carik hatiku ini. Bagaimana dia boleh berubah. Hari itu aku pulang dengan sedikit kecewa. Ah anak! Mengapa hatimu berantakan begini. Sepanjang jalan aku salahkan asuhanku sendiri.

     Tiba di ambang pintu sang suami terus menanyakan itu dan ini. Aku bersimpuh di depan kekasih ku itu. Melihat bujur mukanya. Mata yang tersorot sedikit ke dalam. . Cengkung dan pucat. Dia sedikit kurus. Lalu terus-terusan aku cerita perihal anak seorang itu. Suamiku terdiam cuma. Matanya beralih ke pohon nyiur gading di halaman. Hatinya ku selami. Ada kecewa pada hati lelaki itu. Oh zuriat yang seorang. Penawar duka pengubat lara. "Sal, apa salah asuhan kita hingga dia jadi begini. Ah! Salahku Sal. Kerana aku dia jadi begini. Kalaulah aku sempurna…,"suaranya tenggelam dalam hiba. Dia menangis lagi. Aku usap pipi kendurnya. Lalu kami bertentang mata. "Abang, usah disalahkan takdir. Selagi tuhan bersama kita, inilah seadilnya bahagian untuk kita," aku rasakan hati wanitaku teruji bila air mata suami tumpah. Setitis air matanya begitu berharga buat diri aku yang bergelar isteri. Dia genggam erat tanganku. "Sal, adakah alam telah mengubah dia jadi begini? Kasih alam yang dulunya ku ukir di dada hatinya sudahkah terhakis?.Berbezakah alam di sini dengan di bandar sana? Aku benar-benar takut jika alam penyebab dan aku puncanya," perlahan tutur katanya menggegar sukmaku. Alam tidak berubah, dan tidak pernah akan berubah. Kasih alam abadi. Cuma tangan-tangan manusia yang menghancurkan kasih alam. Hingga alam ternoda kerana manusia. Kedamaian alam hilang akibat sengketa manusia. Mengapa alam yang menerima akibatnya.

     Muncul satu hari yang menyesakkan fikiranku. Suamiku jatuh sakit. Dadanya tiba-tiba sakit. Lantas dengan bantuan seorang jiran dia dibawa ke hospital. Doktor mengatakan dia menghidap penyakit jantung dan perlu diubati segera. Aku sendiri tidak mengerti apakah penyakit itu. Hatiku pasrah lagi. Figura Iskandar lantas terbayang di celah fikiran.

     Di ruang pejabat tingkat 15, Iskandar menyandarkan tubuh dan terseyum puas. Belumpun lima tahun berhempas-pulas, dengan mudah dia membina mahligai kemewahan. Matanya menjilat pemandangan diluar tingkap. Di hadapan hanya berlatarkan panorama keluli besi yang bakal mewujudkan sebuah bangunan tinggi. Agam kelihatannya. Projek mega. Dia juga berkait rapat dengan projek-projek mega. Mega itu,mega ini. Hingga kehidupannya serba mega. Lamunan terhenti bila rakan kongsinya masuk. "Pintu tidak roboh jika diketuk dengan jari," Iskandar memandang wajah Ikmal Hisyam di depan. Rakan kongsi dan sahabat yang dikenali empat tahun lepas. Hubungan dalam pelbagai aspek menjadikan mereka begitu akrab. "Pintu memang tidak akan roboh, tapi hati akan tercalar dengan kata-kata. Maafkan aku. Ini, aku bawakan projek baru," tangan Ikmal menghulurkan fail yang terkandung butiran lengkap projek mega mereka. "Erm, mega. Aku harap kau sentiasa pandang pada restrospeksi lepas. Takut-takut satu sen lari dari 2 juta RM," Iskandar mengingatkan Ikmal seketika. Fail bertukar tangan."Oh ya Is, boleh aku tanya. Kenapa kau benci sangat bapa kau? Bukankah dia yang membesarkan kau," Ikmal sememangnya tidak berfikir terlebih dahulu sebelum menuturkan sesuatu. Iskandar memandang tepat wajah Ikmal. Kelihatan rona merah mewarnai wajahnya yang sedia putih. Penumbuk dikepal. Menahan geram yang maha dasyat. "Dia bukan bapa aku Ikmal! Jangan kau ucapkan lagi perkataan bapa. Dia tidak layak untuk gelaran itu,". "Is, fikir sebelum mengatakan sesuatu. Dia tetap bapa kau sampai bila-bila. Aku tahu naratif hidup kau tidak seindah seperti aku. Tapi sekurang-kurangnya kau mempunyai bapa untuk disayangi. Tapi aku, hanya kawan-kawan di Rumah Anak-anak Yatim saja tempat berkongsi kasih," Ikmal berdiri sambil kemas dalam dakapan lengannya.

     Figura Iskandar di depannya kelihatan tidak ubah seperti singa lapar. Dia sedar dia cuba menjolok sarang tebuan. Cuma dia ingin sahabatnya sedar akan tanggungjawab sebagai seorang anak. Tidak pernah sekali dia lihat Iskandar menghantar wang bulanan ataupun menziarahi kedua ibubapanya. Sepanjang persahabatan mereka tidak pernah sekali dia dengar Iskandar menyebut perkataan ibu ataupun bapa. Buruk sangatkah mereka di mata Iskandar? Terbuang sudahkah mereka dari hati Iskandar?. "Ikmal, tolong jangan tanya apa-apa tentang mereka. Aku tidak mahu hubungan kita putus disebabkan mereka. Please," merayu Iskandar padanya. Ikmal jeda. Tiada fikrian bertali arus. Keras hati Iskandar mengecewakan Ikmal. Benarkah bila seorang anak telah benci ibubapanya, hingga ke mati bencinya berakar walaupun setelah diubati. Tapi bila seorang ibu membenci anaknya, benci itu akan hilang bila kasih anak membelenggu hatinya?.

     Hari ini aku gagahkan diri untukmenemui Iskandar.Suamiku perlukan duit untuk belanja perubatannya. Aku tidak mengharap apa-apa dari Iskandar. Cuma, dia dapat membantu suamiku, ayahnya sendiri. Aku tahu Iskandar telah berubah. Aku sendiri tidak mengerti mengapa. Adakah kerana alam?. Atau salah asuhan kami?. Pagi lagi aku siapkan kelengkapan untuk ke kotaraya. Berbekalkan alamat Iskandar yang ku minta dari seorang jiran yang kebetulannya dia mengenali anak itu, aku tekadkan hati menempuh perjalanan yang tidak pernah ku tempuh. Aku lihat wajah pucat suamiku. Berjauhan darinya adalah detik-detik derita bagiku. Namun apakan daya, kerana dia juga aku pergi.

     Sebelum melangkah ke ambang pintu ku ciumi tangannya. Sejuk bergetar. Aku kucup dahinya juga. Terasa ada air mata yang menitis dari pelupuk mata suamiku itu. Dia pegang erat tanganku. Lantas membisikkan sesuatu ke telingaku. Cebisan Hati Buat Seorang Isteri. Isteriku, Saat ku halal bagimu, Aku lindungi dirimu dengan nusrah Ilahi, Menganyam bahagia bersama, Melahirkan benih cinta kita. Isteri yang ku cinta, Waktu kau lahirkannya ke dunia, Hatiku berbaur rasa, Bagaimana dirimu dan bagaimana zuriat kita, Khabar baik ku terima kau selamat bersamanya, Isteriku yang setia, Kau tetap di sisi,Menyeka kesalan yang datang,Menghulur padaku sejuta bahagia, Litupan sayangmu membuat aku berkata, "Kau sememangnya isteri yang setia," Isteri yang ku cinta, Andai hari esok bukan milik kita, Aku halalkan segalanya bagimu, Dari waktu kau bersamaku, Hingga ke waktu pergimu dariku, Bahagia yang diriwayatkan dalam kisah kita hanya sebentar cuma, Apa yang ku minta, Kau akan menjadi ketua para bidadariku di syurga sana. Seusai dia bermadah, ku lihat dia merenung jauh ke dalam mataku. Aku anggap dia hampir menemui kedamaian. Lama dia begitu. Seolah tidak mahu melepaskan aku pergi. Aku ucap padanya kata-kata yang sememangnya sudah lama ingin ku bicarakan. Selagi detik berlalu, masa berlari dan jantungku berdegup aku harus ucapkan padanya.

     Suamiku, Saat aku halal bagimu, Aku abdikan diriku padamu, Membelaimu mesra, Walau nanti tubuhmu kaku Suamiku, Saat jantungku masih berdegup, Bendang derita yang kau sediakan rela ku jejaki, Aku rela bersamamu setiap detik dan ketika, Suamiku, Air mata deritamu usah dititiskan lagi, Bukankah aku sentiasa di sisi, Mencintai dan menyayangimu sepenuh hati, Selagi hayatku ada, Impianmu adalah impian ku jua, Ingin menjadi ketua bidadari di syurga Firdausi. Air mata merembes di pipiku. Hati telah ku pisah dari jasad untuk ditinggalkan padanya. Aku kucup dahinya buat terakhir kali. Pantas kakiku melangkah pergi. Kotaraya ku jejaki. Keadaan gharib dengan bangunan yang dibina tinggi seolah-olah untuk mencakar langit nan tinggi. Bas-bas dan kenderaan bersimpang siur. Punggung dilabuhkan di atas simen kaki lima deretan kedai. Pijar kulit terasa apabila cahaya matahari terik memancar. Perut berkeroncong minta diisi. Bekalan bubur dan ikan kering ku buka. Tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, perut ku isi. Tiba-tiba fikiranku terbang jauh pergi mendapatkan suami di rumah. Entah apa yang sedang dia makan. Air mataku mengalir lagi. Aku tidak pernah salahkan takdir. Adil bagiku kerana punya sebuah kehidupan walaupun tidak sesempurna orang lain. Bubur segera ku habiskan. Tersandar seketika kerana keletihan. Alam nasut disini tidak menghiraukan kehadiranku. Seolah-olah aku adalah sampah di mata mereka. Di celah-celah orang ramai aku lihat lagi kehidupan di alam yang bernama kotaraya. Dipenuhi lengkingan hon. Acapkali membuatkan telinga sakit. Kenderaan jejal kerana kesibukan lalulintas. Manusia macat dengan hala tuju masing-masing. Gurisahku berkata bahawa ini bukan kehidupan sebenarku.

     Hiruk-pikuk kotaraya membuatkan mereka lupa tentang aku. Seorang ibu tua yang sendirian menelusuri jalan kota mencari zuriat bernama Iskandar. Perjalananku dibantu pula oleh seorang anak muda. Ku kira dia sebaya anakku. Lantas ku unjukkan alamat zuriatku itu padanya. Tanpa menunggu lebih lama dia membawa aku pergi. Kakiku melangkah ke bangunan tinggi. Agam diapit dengan dua bangunan lain. Bercerminkan kaca. Anak muda yang tidak ketahuan nama terus membawaku ke dalam. Memasuki sebuah bilik besar. Lebih besar dari rumahku. Di satu sudut, aku lihat seseorang sedang duduk membelakangi kami. "Is, lihat siapa yang ku bawa ini," anak muda yang membawaku menyapa dia yang sedang duduk. Dia kemudiannya berpalis mengadap wajahku. Isakandar!. Jantungku berdegup laju. "Aku keluar dulu," salam permisi dari anak muda itu meninggalkan kami berdua sendirian. "Kenapa Umi datang ke sini?," "Maafkan Umi. Ayahmu sakit tenat di kampong. Doktor kata belanjanya tinggi. Jadi Umi mohon agar kau membantu dia," terpisat-pisat aku ketika menerangkan keadaan sebenar. Dia acuh tidak acuh. "Kenapa datang pada saya?. Jual saja tanah di kampung. Selesai cerita," nadanya keras. Tidak pernah ku lihat dia marah begitu. "Iskandar. Jika dijual tanah di mana kami nak berteduh?. Umi cuma mohon kau selamatkan ayahmu. Itu saja. Umi tidak meminta apa-apa lagi," aku dengan rendah diri merayu padanya. Semua kerana suami tersayang. Lupa seketika bahawa di depan adalah anakku sendiri. "Dia bukan ayah saya!," wajahnya merona merah. Sampai hati kau anak. "Umi merayu padamu, bantulah dia. Umi tiada sesiapa lagi. Umi pohon sekali lagi. Bantulah kami," aku terjelepuk di permaidani tebal. Air mataku mengalir lagi. Maruah sebagai ibu ku gadai demi seorang suami. Suamiku, bisakah hati anak ini dilembutkan. "Dia bukan ayah saya!.Kerana dia saya dihina oleh manusia-manusia sekeliling. Umi dicerca kerana menyuap nasi pada seorang lelaki. Saya?. Saya ditertawa oleh rakan-rakan kerana kekurangan yang ada. Kerana siapa? Saya tidak dapat pergi ke luar Negara kerana siapa? Kerana lelaki itu!. Saya yang terpaksa menelan pahitnya," Iskandar tunduk. Perasaan yang ditahan sekian lama terhambur juga. Tidak pernah sekali dia meninggi suara denganku.

     Setelah berbelas tahun dia simpan akhirnya hari ini diluahkan juga milik hatinya. Lama ia membarah. Aku jeda. Tidak ku sangka, anak yang berpelajaran dan ku asuh serta ku hayun dahulu jadi begini. Aku bangun. Mengucapkan terima kasih padanya. Terima kasih kerana sudi menjadi zuriatku satu tika dulu. Air mataku beku. Hatiku menangis sendiri. Perlahan aku pandang wajahnya buat terakhir kali. Di depan ini zuriat yang ku lahirkan. Dia kuhayun dengan tangan ini. Akhirnya dia pergi jauh dariku. Aku telusuri jalanan untuk kembali semula mendapatkan suami yang tersayang. Ini adalah takdirku. Sampai disatu tempat dada ku rasakan terlalu sakit. Pandangan kabur. Aku berpaut pada pagar besi di sisi. Terlalu sakit. Perit. Wahai tuhan, apakah masanya telah tiba. Wahai suamiku, zuriat kita telah pergi jauh. Bagaimana dia bisa berubah. Pandangan kabur. Kelam. Akhirnya hilang dalam kesejukan yang menggila. Di satu sudut terkujur jasad tua yang diselubungi kesejukan. Manusia mengerumuninya. Hanya alam yang tahu mengapa

*100% cilok daripada encik orex.

No comments:

Related Posts with Thumbnails