08 December 2010

Ciri-ciri isteri solehah

- Mengakui dan menerima kenyataan bahawa suami ialah ketua di dalam kepimpinan keluarga sesebuah rumah tangga.

Tiada siapapun boleh menyangkal bahawa suami telah diberikan kelebihan satu darjah daripada isteri.

Satu kurniaan Allah yang meletakkan suami bertanggungjawab menjaga serta mengawal keselamatan dan kesejahteraan perjalanan hidup keluarganya di dunia dan di akhirat serta suami wajib memberi nafkah isteri dan anak-anaknya.

Firman Allah: Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa: 34).

- Memberi keutamaan hak suami kerana bagi seorang isteri tidak ada hak yang lebih utama kepadanya selain hak suami.

Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Rasulullah mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh seorang isteri. Rasulullah s.a.w. menjawab, suaminya. Apabila ditanya mengenai hak siapakah yang lebih utama diberikan oleh suami. Baginda menjawab, ibunya. (Hadis riwayat Hakim).

- Bersifat amanah iaitu menjaga maruah diri sendiri sebagai isteri dan menjaga maruah suami terutama di dalam perkara-perkara rahsia peribadi dan rumah tangga. Isteri ialah orang yang paling hampir kepada suami yang tahu segala kekurangan dan kelemahan suaminya. Membuka rahsia suami atau menyebarkannya akan menjejaskan kewibawaan suami, sekali gus menggugat keharmonian rumah tangga kerana suami telah hilang kepercayaan terhadap isteri. Iaitu menjaga aurat suaminya. Aurat itu bermaksud sesuatu perkara berkaitan dengan suaminya, jika diketahui oleh orang lain ia boleh mendatangkan ‘aib.

- Bijaksana mentadbir harta benda suami tanpa membazirkannya. Jangan meminta sesuatu yang di luar kemampuannya kerana hal yang demikian akan menyebabkan tekanan dan ketegangan di dalam kehidupan suami.

- Sentiasa bersedia untuk menggembirakan hati suami, sama ada dengan tingkah laku yang menawan, tutur kata yang menjadi penawar serta perhiasan diri zahir dan batin.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Tiada faedah yang paling baik diperoleh seorang mukmin (suami yang beriman) selepas bertaqwa kepada Allah azza wa jalla selain isteri yang solehah. Apabila suami menyuruhnya, ia mentaatinya. Jika suami memandangnya ia menggembirakan hati suaminya. Sekiranya suami bersumpah, ia memenuhi sumpah suaminya itu. Apabila ia keluar kerana bertugas atau berjuang, ia menjaga maruahnya dan maruah suaminya serta menjaga harta benda suaminya dengan cara berjimat cermat membelanjakannya. (Riwayat Ibnu Majah).

Isteri wajib mentaati perintah suaminya selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak Islam. Tetapi sayangnya ramai di kalangan suami yang menyalahgunakan pengertian taat ini. Mereka mengambil kesempatan untuk membebankan isteri dengan pelbagai hal yang tidak wajar. Seperti contohnya, meminta isteri yang berpuasa dibulan Ramadhan menghidangkan makanan kepadanya pada siang hari(hanya satu contoh).

- Berusaha menambah ilmu pengetahuan dan mempertingkatkan nilai-nilai akhlak yang murni supaya sejajar dengan petunjuk yang diarahkan oleh Islam mengenai sahsiah seorang isteri yang seharusnya dipilih oleh suami.

Sabda Rasulullah s.a.w., Seorang wanita itu dinikahi kerana salah satu daripada sifat-sifat utamanya; kejelitaannya, hartanya, akhlaknya dan agamanya. Hendaklah kamu memilih wanita yang memiliki agama dan akhlak, kamu akan beruntung kelak. (Riwayat Ahmad).

- Mempunyai sifat redha, yakin diri serta tawakal kepada Allah untuk menghadapi sebarang masalah dan cabaran hidup berkeluarga selaras dengan firman Allah, Bergaullah dengan isteri-isteri kamu menurut cara yang wajar dan baik. Sekiranya kamu berasa tidak senang disebabkan perangai mereka, bersabarlah mungkin dalam perkara yang kamu tidak suka itu Allah menjadikan kebaikan yang banyak. (An-Nisa: 19).

Walaupun ayat ini ditujukan kepada suami, pengajaran yang terkandung amat perlu menjadi panduan kepada para isteri. Setiap orang hendaklah menyedari hakikat bahawa tiada seorang pun yang cukup sempurna dalam segala aspek. Oleh kerana itu kita perlu berusaha memperbetulkannya dan menyelesaikannya.

Rasulullah memberi panduan, Janganlah seorang suami yang mukmin membenci isteri yang mukminah disebabkan tingkah lakunya. Jika ia tidak berkenan kepada satu daripada tingkah lakunya, tentu masih ada tingkah lakunya yang lain amat disenanginya. (Hadis sahih).

- Membantu dan menolong suaminya agar menjadi anak yang sedia berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibunya yang telah lanjut usia, uzur dan miskin kerana tanggungjawab anak lelaki lebih berat dan lebih utama terhadap kedua-dua ibu bapanya.

- Bersedia menjadi penyokong kuat kepada perjuangan suaminya iaitu perjuangan yang tidak menyimpang dari garis-garis yang dibenarkan oleh Islam.

Sabda Rasulullah s.a.w., Allah memberi rahmat kepada seorang isteri yang jika ia bangun malam dan solat, ia membangunkan suaminya supaya sembahyang bersamanya. Tetapi sekiranya suaminya enggan, direnjiskan air ke muka suaminya dengan penuh kasih sayang.

- Berusaha menjadi ibu yang baik, bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anaknya menjadi baik dan dapat melaksanakan hukum-hakam agama, berakhlak mulia sehingga menjadi teladan kepada orang ramai.

Inilah sebahagian daripada sahsiah isteri yang seharusnya ada pada setiap wanita untuk mencapai kesempurnaan hidup berkeluarga dan mendapat keredhaan Allah yang diharapkan oleh setiap suami seperti doa Nabi Daud a.s.: ``Ya Allah, aku mohon kepada-Mu dikurniakan seorang isteri yang solehah, yang dapat membantuku menyelesaikan urusan duniaku dan urusan akhiratku.''

Dan hayatilah ini wahai para lelaki, para suami dan bakal-bakal suami.

Diriwayatkan bahwa seorang pemuda datang ke rumah Umar bin Khatthab Radhiallahu 'anhu hendak mengadukan keburukan akhlak isterinya. Maka dia berdiri di depan pintu menunggu Umar keluar. Lalu dia mendengar isteri Umar bersuara lantang pada suaminya dan membantahnya sedangkan Umar diam tidak membalas ucapan isterinya. Pemuda itu lalu berbalik hendak pergi, sambil berkata : "Jika begini keadaan Umar dengan sifat keras dan tegasnya dan dia seorang amirul mukminin, maka bagaimana dengan keadaanku ?".

Umar keluar daripada rumahnya dan melihat ada orang beredar dari rumahnya lalu memanggil pemuda itu dan berkata : "Apa keperluanmu wahai pemuda ?" Dia menjawab : "Wahai Amirul Mukminin, pada mulanya aku datang hendak mengadukan keburukan akhlak isteriku dan sikapnya yang membantahku. Lalu aku mendengar isterimu berbuat demikian, maka aku pun kembali sambil berkata :"Jika demikian keadaan amirul mukminin bersama isterinya, maka bagaimana dengan keadaanku ?" maka Umar berkata : "Wahai saudaraku. Sesungguhnya aku bersabar atas sikapnya itu kerana hak-haknya padaku. Dia yang memasakkan makananku, yang membuatkan rotiku, yang mencucikan pakaianku, yang menyusui anak-anaku dan hatiku tenang dengannya dari perkara yang haram. Kerana itu aku bersabar atas sikapnya". Pemuda itu berkata : "Wahai Amirul Mukminin, demikian pula isteriku". Berkata Umar "Bersabarlah atas sikapnya wahai saudaraku ..." [Kitab Al-Kaba'ir oleh Dzahabi hal. 179]

Penentangan seorang isteri itu terhadap suaminya adalah berkaitan dengan keyakinannya pada sesuatu yang mana ia mempunyai sumber dan ilmu pengetahuan mengenainya dengan jelas. Dan berhak dia berkeras yang pendapatnya itu lebih benar dari pendapat suaminya. Tidaklah pula wajib keatas suami itu untuk memta’atinya, hanya sekadar harus baginya. Tetapi jika ianya berkaitan dengan halal dan haram, sah dan batal pada sesuatu amal, maka wajiblah ia mengikutinya.

Dan kelongaran ini bagi pihak isteri pula bukanlah berkenaan menegakkan benang yang basah. Atau pendapat-pendapat yang datangnya dari kehendak dan dorongan nafsu semata.

*cilok benda baik untuk aku daripada encik wirajiwa*

2 comments:

Siti Noor Aminah said...

amin, insyaallah.

wani said...

amin..
eh, dah lekat ke?

Related Posts with Thumbnails