02 April 2013

Die Zone


Hari Pertama:
Hari ini apabila Haziq balik dari sekolah saya bertanya:

"How was your day?" Sebenarnya saya nak bergurau sebab teringatkan lawak Harith Iskander dalam Lawak Ke Der.

" Not so good ma," saya terkejut. Niat untuk bergurau saya batalkan. Saya tanya mengapa jadi begitu?

Lalu dia keluarkan kertas ujian Matematik dan tunjukkan pada saya. Ternyata dia agak terluka dengan komen yang diberikan oleh guru tersebut.

Sebenarnya bukan Haziq sahaja yang terluka. Saya sebagai ibu dan guru berasa tidak sepatutnya komen seperti ini diberikan kepada anak muridnya.

Saya akan pergi ke sekolah tersebut pada hari esok. Saya ingin berjumpa dengan guru tersebut. Bukan untuk bergaduh tetapi ingin berbincang dari hati ke hati.

Hari Kedua:
Haziq anak mama yang sangat mama sayang...

Apapun yang berlaku, jangan bersedih...
Mama tahu, Haziq nak impress mama...
Haziq paksa diri untuk buktikan Haziq boleh buat...
Namun kekadang...kita tak boleh paksa diri untuk buat apa yang kita tidak mampu...
Kita kena redho, itu yang mampu kita lakukan...

Mama akan tetap menyokong Haziq...dalam apa pun yang Haziq lakukan asalkan ianya tetap berada dalam landasan yang benar. Mama tahu Haziq cukup terpukul dengan apa yang Haziq terima pada hari ini...tetapi percayalah...dalam setiap kedukaan pasti akan tiba saat yang paling manis....asalkan kita yakin dan menyerahkan diri kepada Allah...

Ingat cerita mama dulu...mama pernah jatuh...pernah kecundang...tetapi mama kuat kerana mama yakin Allah amat menyayangi mama...

La tahzan anakku...

Hari Ketiga:
Mesti ramai tertanya-tanya apa sudahnya DIE ZONE yang amat menyedihkan jiwa dan raga itu. Terima kasih pada yang menginbox saya untuk bertanya khabar. Alhamdulillah, kisah sedih semalam berakhir dengan rasa agak puas hati.

Pada asalnya, saya mahu berjumpa dengan GPK1 atau GPK HEM sahaja. Namun, agaknya memang rezeki dari Allah, Pengetua tetiba menyapa saya ketika saya berurusan dengan kerani sekolah. Pada beliau saya katakan saya mahu berbincang hal anak. Beliau menjemput ke biliknya dan saya pun menyerahkan kertas ujian DIE ZONE tersebut. Kali pertamanya, beliau terkejut dan tidak patut seorang guru memberi komen yang negatif. Namun, apabila menyebut nama gurunya, pengetua memberi gambaran agak positif berkenaan guru tersebut. Saya sedia maklum, ketua seharusnya akan mempertahankan anak buahnya. Namun begitu dia menekankan bahawa tidak wajar komen sedemikian diberi.

Guru tersebut dipanggil bersama-sama Haziq. Sementara menunggu guru itu masuk, saya memang berdebar. Setibanya dia di bilik itu, nampaknya wajahnya tidak "segarang" komen pedasnya itu. Orang Kelantan dan baru 3-4 tahun mengajar di situ. Kami bersalam dan terus ke point utama. Dia agak menggelabah dan di sini sempat saya ingat beberapa point penting mengapa komen itu diberi .

1. Dia tidak tahu latar belakang Haziq kerana Haziq budak baru. Sedangkan pelajar lain dia sudah ajar sejak tingkatan 1.
2. Komen itu berupakan amaran supaya melipatgandakan usaha.
3. Ada 3 orang lagi menerima komen yang sama.
4. DIE ZONE di sini bermaksud ZONE KRITIKAL
5. Haziq tergolong dalam pelajar slow yang perlu diberi amaran yang keras dan tegas.

Saya tidak banyak memberi pandangan kerana kedatangan saya bukan untuk bergocoh, tetapi lebih kepada meminta penjelasan. Sempat saya tanya, adakah Haziq seorang yang bermasalah disiplin. Dia kata tidak ada. Alhamdulillah....

Guru tersebut memohon maaf seandainya apa yang ditulis menyinggung perasaan dan dia sama sekali tidak berniat untuk menjatuhkan motivasi anak saya. Saya maafkan kerana dia guru baru. Perlu bimbingan dan peneguhan sama seperti pelajar yang dia ajar.

Paling terkesan ialah cara Pengetua mengatasi masalah ini . Cukup teratur dan profesional. Alhamdulillah juga, Allah pelihara saya dari naik angin.

Akhirnya, Pengetua mengajak saya ke kantin dan kuewtiaw ladna yang enak itu menjadi saksi selesainya sebuah salah faham.....

* wani - saya adalah pembaca tegar untuk setiap status yang Puan Dima tulis. Apa yang berlaku pada anaknya, mungkin boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Kita ambil kebaikan dan kita tolak jauh-jauh keburukan. Kalau anda adalah seorang guru atau bakal guru ataupun sudah lama menjadi guru... ini adalah titik tolak terbaik untuk anda melakukannya :)

No comments:

Related Posts with Thumbnails